Jangan Jadi Jahil

Bismillahirrahmanirrahim.

Firman Allah SWT :

“Dan demikian di antara manusia, makhluk bergerak yang bernyawa dan haiwan-haiwan ternak ada yang bermacam-macam warnanya (dan jenisnya). Di antara hamba-hamba Allah yang takut kepadaNya, hanyalah para ulama (orang-orang yang mengetahui ilmu kebesaran dan kekuasaan Allah). Sungguh, Allah Maha Perkasa, Maha Pengampun.” (Surah Fatir : Ayat 28).

Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah mengiktiraf orang yang mencari ilmu untuk mendekatkan diri kepadaNya. Yakni mencari ilmu semata-mata untuk meraih keredhaan Allah SWT.

Malangnya manusia pada hari ini, sebilangannya mengabaikan ilmu agama yang merupakan alat terbaik untuk kita mengesan mana yang baik dan buruk dalam amalan kita seharian.

Kerana kejahilan, ada yang sanggup memisahkan Islam dengan perkara yang di ambil penting oleh Islam sebagai contohnya politik ataupun sistem pemerintahan.
Namun yang demikian, bukanlah tujuan mencari ilmu untuk kebanggaan atau untuk berdebat yang tiada guna kerana hal yang sedemikian mendapat azab daripada Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW  :

“Janganlah mempelajari ilmu untuk menandingi para ulama, untuk dipamerkan pada orang-orang jahil, dan untuk mencari kedudukan tertinggi. Sesiapa yang melakukan demikian, maka nerakalah tempatnya.” (Riwayat Ibnu Hibban, Imam Al-Bahaqi, dan Ibnu Majah daripada Jabir).
Oleh itu, carilah ilmu dengan niat hati yang ikhlas yakni hanya kerana Allah SWT kerana dengan cara yang sedemikian akan dipermudahkan oleh Allah SWT untuk mendapat nikmat syurga pada Hari Akhirat kelak.

Sebuah hadith yang dilaporkan daripada Abu Hurairah, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda :

“Barangsiapa yang menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan menuju syurga. Setiap kaum yang mahu berkumpul di salah satu rumah Allah sambil membaca Kitab Allah, dan saling belajar di antara di antara mereka, maka mereka akan dikelilingi oleh para malaikat, diturunkan ketenangan, diliputi rahmat, serta diingat oleh Allah sebagai orang yang ada disisiNya.” (HR. Imam Muslim, Abu Daud, Tirmizi, Nasa i, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban).
Mudah-mudahan ilmu yang kita timba selama ini mendapat keredhaan daripada Allah SWT.

Dengan demikian, saya mengingatkan kepada sahabat dan sahabiah sekalian dan juga yang paling utama diri saya sendiri supaya kita perlu sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar hati kita sentiasa ikhlas dalam menuntut ilmu dan dalam melakukan amal soleh.

'Ke arah mencari redha Allah SWT'

Wallahu’alam.

Al Mutahhara Kamaruddin
Ketua Unit Tarbiyah Muslimin
Sesi Julai 2010
5 Syawal 1431 H / 14 September 2010

0 ulasan: